Wednesday, 27 May 2009

Syi'ah Sesat? Suatu Perbincangan

Seringkali kita mendengar desas-desus dari teman-teman, jemaah masjid ataupun para asatizah yang mengatakan golongan Syi'ah itu sesat. Tetapi, apakah neraca pertimbangan dalam menghukum kesesatan?

Dialog yang dipaparkan adalah suatu usaha untuk memberi kefahaman mudah terhadap isu ini dengan gaya tulisan yang tidak formal sebagaimana yang dilakukan oleh Imam as-Syafi'e rahimahullah di dalam kitab unggul beliau, al-Risalah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dia bertanya: "Apakah kamu mempertahankan fahaman Syi'ah sebagai suatu fahaman yang selaras dengan Islam?"
Jawapan: "Tidak, tetapi orang awam perlu memahami bahawa tanpa kefahaman yang tepat terhadap prinsip asas Islam, fahaman yang menyeleweng akan kelihatan seolah-olah selaras dengan Islam."

Dia bertanya: "Tetapi, bukankah kesesatan Syi'ah sudah maklum di kalangan masyarakat Islam kita?"
Jawapan: "Jika soalan tersebut ditanyakan sedekad dahulu, mungkin ianya benar. Tetapi, sensitiviti terhadap fahaman menyeleweng seperti fahaman Syi'ah kurang wujud di kalangan masyarakat sekarang."

Dia bertanya: "Mengapa?"
Jawapan: "Kerana semakin tersebarnya fahaman yang keliru terhadap prinsip asas Islam."

Dia bertanya: "Fahaman keliru yang bagaimana?"
Jawapan: "Fahaman terhadap 'aqidah dan ibadah."

Dia bertanya: "Sila berikan contoh."
Jawapan: "Baiklah, mengenai kefahaman terhadap 'aqidah, golongan Syi'ah menganggap imam-imam mereka golongan yang tidak pernah tersilap (ma'sum) dan menjadikan imam-imam mereka sebagai rujukan asas hukum-hakam agama (pembuat syari'at). Tetapi, sukar untuk golongan awam mengenalpasti perkara ini sebagai suatu yang menyeleweng kerana ini juga diamalkan oleh golongan Sunni zaman sekarang."

Image Hosted by ImageShack.us

Dia bertanya: "Benarkah golongan Sunni juga menganut fahaman sama?"
Jawapan: "Ya, kerana terdapat golongan Muslim, termasuk asatizah, yang menganggap imam-imam atau ulama terdahulu sebagai golongan yang tidak boleh dipersoalkan, walaupun telah terbukti pendapat mereka di dalam sesuatu hal itu lemah atau tersilap."

Dia bertanya: "Sila berikan contoh."
Jawapan: "Contoh termudah ialah mengenai amalan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat dan bacaan maulid barzanji. Ini adalah di antara amalan-amalan yang mustahil untuk golongan asatizah pertahankan secara ilmiah, melainkan mereka pertahankan secara emosi kerana sikap fanatik terhadap ulama dan amalan tersebut."

Dia bertanya: "Bagaimana pula dengan kefahaman keliru dalam soal ibadah?"
Jawapan: "Mengenai kefahaman keliru terhadap ibadah, laungan azan dan kalimah shahadah golongan Syi'ah mempunyai tambahan 'Ali Waliyullah. Tetapi, sukar untuk golongan awam mengenalpasti perkara ini sebagai suatu yang menyeleweng kerana tambahan-tambahan dalam ibadah juga diamalkan oleh golongan Sunni zaman sekarang."









Dia bertanya: "Sila berikan contoh."
Jawapan: "Contoh tambahan dalam ibadah masyarakat ialah wirid-wirid seperti Ya Lathief, Ya Lathief dan Allahu, Allahu atau bacaan surah an-Naas sebelum memulakan solat."

Dia bertanya: "Tetapi bukankah amalan itu semua mempunyai sandaran hujah yang diberikan oleh sebahagian ulama dan tidak pernah dilarang Rasulullah?"
Jawapan: "Ya, dan begitu jugalah jawapan golongan Syi'ah apabila amalan mereka dipersoalkan. Kalau kita baca fatwa ulama Syi'ah, kata mereka - Tiada salah menambah kalimat 'Ali Waliyullah di dalam azan atau shadahah kerana Rasulullah tidak pernah melarangnya, dan tambahan ini bukanlah sesuatu yang wajib atau sunnah. Ia hanya suatu tambahan untuk mengukuhkan kepercayaan terhadap kelebihan 'Ali sebagai sahabat yang teragung."

Dia bertanya: "Tetapi apakah sandaran hujah mereka? Pernahkah umat Islam mengubah-ubah azan?"
Jawapan: "Sebenarnya, selain daripada tambahan di dalam azan solat Subuh, para sahabat, yakni Ibnu 'Abbas dan Ibnu 'Umar pernah menyuruh mu'adzin mengubah azan sewaktu cuaca hujan. Maka, memang terdapat contoh dalam mengubah-ubah azan."

Dia bertanya: "Maka, azan Syi'ah ini dibenarkan?"
Jawapan: "Jika dikatakan ianya tidak benarkan, bukankah itu sikap tidak berlapang dada? Menunjukkan tidak faham adab berbeza pendapat? Atau menunjukkan kecenderungan terhadap fahaman Islam tegar yang keras dan ekstrim? Kerana inilah alasan-alasan sebahagian asatizah apabila diajak berbincang sesuatu perkara secara ilmiah."

Dia bertanya: "Maka, apa penyeselaiannya?"
Jawapan: "Ketahuilah, selagimana fahaman agama Islam ini dibina di atas prinsip yang lemah dan kabur, masyarakat awam tidak akan dapat membezakan golongan yang di jalan yang lurus dan golongan yang di jalan yang terpesong. Dan ketahuilah, terdapat golongan yang bergelar ahli agama yang tidak memahami peri penting prinsip-prinsip kukuh dalam beragama dan terdapat juga golongan ahli agama yang lebih hina dari itu, yakni golongan agama yang sengaja meremeh-remehkan prinsip-prinsip asas dalam beragama sedang mereka mengetahuinya."

Dia bertanya: "Mengapa prinsip-prinsip asas ini tidak diajar secara meluas?"
Jawapan: "Kerana umat Islam adalah umat yang adil yang akan diperkasakan dengan ilmu. Apabila prinsip-prinsip asas ini diajar, umat Islam secara fitrah akan menilai setiap pihak dan setiap amalan di atas neraca yang sama. Maka, apabila dikatakan Syi'ah ini sesat atas prinsip X dan Y, maka umat Islam akan juga menilai golongan-golongan yang lain atas dasar yang sama, walaupun golongan tersebut menggelarkan diri mereka Sunni. Dan perkara sedemikian ingin dielakkan sebahagian pihak."

Dia bertanya: "Maka, apakah prinsip-prinsip asas yang sepatutnya digunapakai dalam hal ini?"
Jawapan: "Pertama, pendekatan yang benar dalam berinteraksi dengan pandangan-pandangan ulama ialah dengan menilai dalil dan hujah yang digunakan dan cuba memahami bagaimana hukum tersebut disimpulkan. Perlu difahami bahawa para imam dan ulama tidak bersifat ma'sum dan pendapat mereka dalam hal agama boleh diterima atau ditolak. Ini dapat kita baca sendiri di dalam kitab-kitab para ulama agung seperti kitab Siyar A'lam an-Nubala' oleh Imam ad-Dzahabi yang memberi pujian dan kritikan ilmiah terhadap para ulama terdahulu."



Jawapan: "Kedua, dalam hal penambahan di dalam azan dan kalimah shadahah golongan Syi'ah, kita perlu memahami bahawa segala ibadah itu bersifat tauqifiyyah, yakni hanya berpandukan sumber wahyu. Hukum asal dalam ibadah adalah HARAM sehingga terdapat dalil wahyu yang memerintahkannya - dan ini adalah prinsip para ulama Ahlussunnah. Ini dapat kita baca sendiri di dalam kitab-kitab para ulama agung seperti kitab I'lam al-Muwaqi'ien oleh Imam Ibn Qayyim yang menjadi satu kitab sandaran para ulama fiqh. Alasan bahawa tambahan-tambahan di dalam ibadah tidak pernah dilarang oleh Rasulullah adalah suatu pemahaman yang bathil dan menyimpang dalam memahami ibadah, bukan sesuatu yang akan dilafazkan oleh seorang ahli agama yang 'alim dan bertaqwa."



Dia bertanya: "Bagaimana pula golongan orang awam hendak berinteraksi dengan kecelaruan yang telah tersebar?"
Jawapan: "Mereka harus giat menuntut ilmu dan belajar dari pelbagai guru dan ahli agama, lalu mereka perlu menilai dan menyemak kembali apa yang diajarkan dengan membandingkannya dengan kitab-kitab para ulama agung. Mereka juga harus menyelidik latarbelakang pendidikan guru agama dan mengenalpasti golongan yang sangat miskin dari sudut ilmu tetapi kelihatan hebat dari sudut ketinggian pangkat, kecantikan pakaian, kelunakkan suara dan kefasihan berpidato. Dan mereka juga harus mengenalpasti golongan yang berkehendak terhadap habuan dunia dalam menyampaikan agama."

*Perhatian: Syi'ah yang dimaksudkan di dalam paparan ini adalah golongan Syi'ah Rafidhah.

  © Blogger template 'Photoblog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP