Isu Wahabi – Antara Semangat dan Sikap
”Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Hujurat, Ayat 11]
Semangat Beragama
Di sebalik perbahasan dan perbalahan golongan *Pro-Sunnah dan Pro-Tradisi, perlu kita iktiraf semangat kedua-dua pihak dalam beragama.

Secara am, golongan Pro-Sunnah ingin menggerakkan tajdid (pembaharuan) terhadap amalan-amalan agama yang tiada asas di dalam Islam, yakni amalan-amalan yang tidak bersandarkan dalil-dalil wahyu yang sahih di atas fahaman para sahabat Rasulullah dan para salafussoleh (para solihin di kurun-kurun yang terjamin).
Dengan demikian, mereka giat mempertahankan warisan ilmu Islam dari kalangan sahabat dan salafussoleh. Mereka bimbang perkara-perkara yang baru semakin lama semakin menghakis agama dan menjejas ’aqidah kaum Muslim.
Golongan Pro-Tradisi ingin mempertahankan status quo, yakni amalan-amalan Islam yang sedia ada. Amalan-amalan ini, walaupun tanpa sebarang dalil atau bersandarkan dalil-dalil yang lemah, tetap bersifat baik pada pandangan mereka dan berlandaskan kaedah-kaedah dan hujah-hujah ulama’ nusantara terdahulu.
Dengan demikian, mereka giat mempertahankan amalan-amalan Islam bersumber dari para ulama’ terdahulu, terutama sekali yang telah serasi di rantau nusantara. Mereka bimbang golongan Pro-Sunnah akan menghakis amalan agama warisan dan mengelirukan dan memecah-belahkan kaum Muslim dengan isu-isu remeh.
Maka, amat jelas kedua-dua golongan secara am adalah pencinta Islam yang tinggi semangat beragama. Kedua-dua berniat baik dalam mengamalkan dan mempertahankan agama.
Namun, apakah cukup sekadar berniat baik? Tidak, niat yang baik juga perlu digandingkan dengan tatacara yang baik dari sudut sikap dan perlaksanaannya.
Tuduhan Terhadap Golongan Pro-Sunnah | Tuduhan Terhadap Golongan Pro-Tradisi |
1 – Kurang beradab dalam berhujah | 1 – Kurang ilmiah dalam berhujah |
2 – Tidak memahami adab-adab khilaf | 2 – Tidak memahami antara khilaf dan bidaah |
3 – Membesarkan isu-isu remeh-temeh | 3 – Meremeh-temehkan isu-isu besar |
4 – Ta’sub kepada para ulama’ mereka | 4 – Ta’sub kepada mazhab dan adat mereka |
5 – Mudah menyesatkan, membidaahkan dan mengkafirkan orang lain | 5 – Mudah menerima unsur-unsur kesesatan, bidaah dan kufur di dalam agama |
6 – Belajar tanpa berguru | 6 – Berguru tanpa belajar |
7 – Memahami nas secara zahir | 7 – Mentakwil nas sesuka hati |
8 – Tidak mengiktiraf qiyas, ijtihad dan kaedah-kaedah fiqh dalam hukum Islam | 8 – Tidak memahami applikasi qiyas, ijtihad dan kaedah-kaedah fiqh dalam hukum Islam |
Sikap Beragama
Sumber perbalahan kedua-dua golongan ini bersumber dari sikap dan cara memahami agama. Isu cara memahami asas-asas agama agak bersifat ilmiah dan teknikal, maka kita bincangkan dulu isu sikap beragama.
Terdapat pelbagai tuduhan dan stereotype yang telah dilemparkan satu golongan terhadap golongan yang lain. Sesetengah tuduhan dan stereotype ini benar belaka, dan sebenarnya setiap tuduhan itu wujud pada kedua-dua pihak. Maka, amat perlu kedua-dua golongan bermusahabah dan meluruskan niat apabila berbincang isu agama.

1) Golongan Pro-Sunnah Kurang Beradab Dalam Berhujah
Tuduhan ini mengandungi unsur-unsur kebenaran. Sikap gemar berjadal atau berbalah wujud pada segelintir golongan pro-sunnah. Di atas kesedaran itulah di Konvensyen Sunnah 2007 di Pulau Pinang, salah satu tajuk yang dibincangkan ialah mengenai peri penting mencontohi "Akhlak Salaf".

Sekilas nasihat untuk golongan pro-sunnah dalam hal ini:
- Mempelajari manhaj dakwah dan akhlak Rasulullah saw, para sahabat, para salafussoleh dan para ulama’
- Memahami bahawa nasihat-nasihat yang bersifat tegas Rasulullah saw, para sahabat, para salafussoleh dan para ulama' adalah kepada pihak-pihak yang memang sepatutnya memahami agama. Maka, perlu menyampaikan sesuatu sesuai dengan tahap pemahaman mereka
- Memberi ruang kepada pihak yang lain menjawab dengan hujah mereka dan menilai dengan adil dan bijak
- Memahami bahawa perbezaan berlaku dari sudut usul bukan furu’. Berjadal dalam isu yasinan, tahlilan dan sebagainya tidak akan berkesudahan jika usul mereka berbeza.
- Memupuk sifat bertawaquf (berdiam diri) apabila mengetahui bahawa sesuatu isu itu tidak difahami secara menyeluruh. Amat penting menyedari tahap ilmu sendiri dan mengelak dari menghukum sesuatu amalan hanya berdasarkan bacaan satu atau dua artikel semata-mata
- Jangan mudah mentajrihkan (menolak) seseorang dan melakukan serangan peribadi walaupun sebenarnya masih mempunyai ruang untuk berbaik sangka. Harus disedari bahawa manusia mempunyai banyak kelemahan dan melakukan pelbagai kesilapan dan memberi peluang untuk berbaik sangka.
Sebenarnya, sikap tidak beradab juga wujud pada segelintir golongan pro-tradisi:
- Menggunakan label yang negatif (wahabi) terhadap golongan pro-sunnah
- Membelakangkan kalam Rasulullah yg sahih yang secara jelas mencanggahi amalan yang sedia ada. Ini menunjukkan kurangnya adab terhadap Rasulullah saw.
Maka, perlu juga golongan pro-tradisi muhasabah diri mereka dari sudut adab. Dari sudut ilmu, perlu ditingkatkan supaya tidak berlaku sikap mempermain-mainkan hukum dan dalil wahyu secara tidak sengaja.
wallahu a'lam
*Nota: Istilah "Pro-Sunnah" dan "Pro-Tradisi" digunakan untuk mempermudahkan perbincangan. Perlu difahami bahawa golongan-golongan ini tidaklah wujud secara suatu dichotomy yang jelas, malah ia wujud di atas suatu continuum yang berbeza-beza tahap.