Muqaddimah
al-Qur'an dan as-Sunnah telah merakamkan perjuangan para anbiya' Allah subhanahu wa taala dalam menebarkan da'wah Islamiyyah, yakni suatu da'wah yang berteraskan tauhid.
Dalam mengajak kepada tauhid, yakni mengesakan Allah subhanahu wa taala dari sudut rububbiyah, uluhiyyah dan asma' wa sifat, wajib juga untuk menjauhi thoghut, yakni saingan-saingan yang seolah-olah setara dengan Allah subhanahu wa taala.
Inilah da'wah Islamiyyah yang haq.
Da'wah Yang Keliru dan Bathil
Da'wah yang keliru dan bathil ini boleh di-definasikan sebagai da'wah yang seolah-olah mengajak kepada yang haq, tetapi tetap membenarkan yang syubhat dan bathil. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mengapa berlakunya da'wah sedemikian di kalangan masyarakat kita ini.
Semoga Allah subhanahu wa taala merahmati para remaja, belia dan du'aat yang terjun ke medan da'wah, dan semoga mereka diberi petunjukNya. Mereka tidak patut dipersalahkan atas kekeliruan dan kebathilan yang semakin berleluasa, tetapi yang patut dipertanggungjawabkan adalah sebahagian dari kalangan asatizah sendiri yang boleh disifatkan sebagai asatizah su' (buruk).
Dua faktor utama yang menyebabkan para asatizah su' menyebarkan da'wah yang keliru dan bathil ialah:
1) Kurang Ilmu dan Kefahaman Terhadap Asas-Asas Agama
2) Mengejar Pampasan Dunia
Faktor Pertama: Kurang Ilmu dan Kefahaman Terhadap Asas-Asas Agama
- Faktor pertama ini dapat kita kenalpasti dgn beberapa cara.
a) Pertama, meninjau kelulusan asatizah tersebut.

Walaupun telah wujudnya skim pengiktirafan, para asatizah tidak diwajibkan untuk memaparkan kelulusan mereka apabila mengiklankan kursus-kursus pengajian mereka kepada masyarakat. Maka, dengan sifat yang sangat tidak kenal malu, terdapat si fulan A yang mengiklankan dalam blognya yang beliau telah menjelajah ke sini dan ke situ untuk berguru dgn para masyaikh, padahal beliau telah ke situ dan ke sini kerana gagal dalam pelajaran dan dibuang sekolah.

Terdapat juga si fulan B yang mengiklankan dalam bahasa Inggeris nota-nota kuliah beliau yang disifatkan sebagai "groundbreaking", padahal beliau juga adalah pelajar tercicir dari situ dan dari sini.
Alangkah malangnya orang awam yang tidak menyelidiki latarbelakang mereka.
b) Kedua, dengan mendengar kuliah atau membaca tulisan blog.
Walaupun para asatizah mempunyai kelulusan, namun tidaklah setiap universiti itu mempunyai kaliber yang setaraf. Terdapat universiti islam yang mempunyai reputasi yang jijik - para pensyarah yang merokok bila mengajar, penyampaian pelajaran yang merujuk hanya pada nota-nota ringkas yang di-photocopy, peperiksaan yang hanya menguji hafalan-hafalan mudah bukan kefahaman, ijazah yang diberikan tanpa mengambil kira peratusan kehadiran (attendance) pelajar dan lain-lain lagi.

Perlu bagi para penuntut ilmu dan orang awam menyemak apa yang disampaikan melalui lisan dan tulisan. Sebagai contoh, mempersendakan, menyesatkan atau mengkafirkan ulama tanpa kajian ilmiah (seperti dilakukan oleh si fulan-si fulan, yakni asatizah tercicir tadi) atau mengajak kepada syirik dan maksiat (sebagai contoh mengajak untuk berdoa kepada Rasulullah atau mengajak supaya menonton bolasepak atau rancangan TV yang penuh unsur maksiat) atau tidak bersifat amanah (bohong) dalam menyampaikan fakta agama.
Faktor Kedua: Mengejar Pampasan Dunia
- Faktor kedua juga dapat kita kenalpasti dgn beberapa cara.
a) Beragama tanpa prinsip, yakni selama beberapa tahun pandangan agama berubah-ubah bukan kerana dengan bertambahnya ilmu, tetapi kerana hendak mengikut arus perdana dan citarasa orang ramai. Sebagai contoh, mungkin mula-mula mengajak kepada Sunnah, lalu menggelarkan diri sebagai pejuang mazhab Syafie, lalu masuk tariqat dan melompat-lompat, lalu berkongsi pentas dengan para penyanyi dan penghibur - demi mengekalkan diri dalam arus maistream.
b) Gemar dikeluarkan fatwa-fatwanya di dalam media massa. Beliau seronok apabila berfatwa terhadap perkara-perkara yang memang dikehendaki oleh para wartawan dan orang ramai, lalu fatwa beliau dijadikan hujjah oleh orang awam walaupun ianya tiada nilai ilmiah dan menunjukkan kajian yang bersembarangan.
c) Gemar dilihat sebagai seorang yang progesif yang mahir dalam ilmu ukhrawi dan duniawi, dan sering menyampaikan isu-isu "fusion" yang menggabungkan kedua-dua alam ini. Sayangnya, mereka hanya menunjukkan fahaman yang amat sedikit terhadap kedua-dua bidang, dan akan cepat berhelah apabila dihujani soalan dan kritikan. Mereka dengan mudah meremehkan prinsip agama dalam usaha untuk menggabungkan ilmu masakini seperti ilmu ekonomi, politik, kaunseling dan sebagainya.
d) Kerelaan mereka untuk terus mempertahankan setiap perkara yang dianggap mainstream akan menjaminkan pangkat, yakni dinaiktaraf untuk turut-serta di dalam majlis-majlis yang lebih gah. Ataupun sekurang-kurangnya mereka selesa bertahan bertahun-tahun di dalam sesebuah jawatan tanpa diganggu-gugat, bukan seperti asatizah yang ikhlas beragama dan "kurang mainstream".
e) Bermewah-mewahan. Bergaya dengan kereta mewah seperti mercedes atau "rolls royce" tanpa sebarang segan silu.

"Syirik OK!" - Tren Yang Membimbangkan
Fengshui, yoga, kuda kepang... inilah antara perkara-perkara yang telah membuat para asatizah yang ikhlas dalam agama, para penuntut ilmu dan umat awam secara umum sangat gelisah.
1) Fengshui
Sang ustaz yang berfatwa telah pun dikritik secara terbuka di akhbar dari sudut kajian yang selekeh terhadap asal-usul dan objektif Fengshui oleh seorang yang berkelulusan tinggi di dalam East Asian Studies. Sayangnya, sang ustaz tidak mempunyai keberanian atau keikhlasan untuk mengaku kesilapan dan menyerah kepada pihak yang lebih berilmu dalam hal ini. Maka, usaha beliau telah berjaya membuka pintu syirik. Tahniah.
2) Yoga
Beberapa ustaz yang berfatwa di dalam akhbar kemungkinan besar sudah maklum dengan fatwa JAKIM yang sudah tersebarluas. Fatwa JAKIM bersifat sangat komprehensif dan setebal 14 mukasurat dengan kajian yang amat teliti dari pelbagai sumber. Sayangnya, mereka tidak mempunyai keberanian atau keikhlasan untuk mengaku kesilapan dan menyerah kepada pihak yang telah mengkaji dengan ikhlas dalam hal ini, bukan main lepas cakap secara bersembarangan di dalam media massa. Maka, usaha mereka telah berjaya membuka pintu syirik. Tahniah.
3) Kuda Kepang
Dengan semakin berleluasanya persembahan kuda kepang yang dirasuk di majlis perkahwinan dan di pusat-pusat masyarakat (community centres), fatwa golongan asatizah yang meremehkan kesyirikan kuda kepang ini sebagai suatu tarian adat Melayu adalah sebuah fatwa yang tidak memahami tren sekeliling. Tanpa memahami kaedah Sadd ad-Dzara'i (mencegah keburukan), mereka seronok berfatwa dan memberi pelbagai alasan untuk membolehkan amalan ini. Maka, usaha mereka telah berjaya membuka pintu syirik. Tahniah.
Maka, dengan semakin luasnya terbuka pintu-pintu kesyirikan ini, akan terus-menerus muncul golongan yang akan cuba meluaskan lagi pintu syirik ini. Dan terpaksalah para asatizah su' mengiyakannya kerana jika tidak, hilanglah konsistensi di dalam berfatwa dan reputasi cemerlang mereka...
Yok, Meluaskan Pintu Syirik!
Baru-baru ini terdapat iklan di lelaman web, di akhbar dan di masjid-masjid di mana seorang ustaz yang bergelar habib akan menganjurkan maulid Nabi bersama kuda kepang dan "lion dance".

Perkara ini bukanlah suatu yang mengejutkan, bahkan semakin lama, semakin lali dibuatnya. Dan saya yakin, sebarang bantahan akan dipertahankan oleh beliau, kuncu-kuncu beliau dan oleh para asatizah su' dengan mengqiyaskan "lion dance" dengan amalan fengshui, yoga dan kuda kepang, yakni sebagai suatu adat yang bersifat fizikal tanpa tatacara khusus yang mempunyai unsur-unsur keagamaan.
Dan saya juga tidak terkejut apabila para asatizah su' tampil untuk mengedepankan kajian sembarangnya untuk mempertahankan amalan "lion dance" ini dengan hujah-hujah yang tiada nilai ilmiah tanpa merujuk kepada para pengkaji adat-istiadat Cina.
Biarlah syirik, asalkan aku dianggap golongan asatizah yang berlapang dada, modernis, pluralis dan mainstream!
Beberapa Nukilan Mengenai "Lion Dance"

They (the dancing lions) are meant to keep evil away for a year and bring good fortune, which is often symbolized by a large pearl, with which the lion play. (pg. 78, "Tracing the Way" by Hans Kung)
The music and dance of the lion and dragon troupes dispel evil and celebrate auspicious occassions like the birth of gods, New Years, weddings, or national celebrations. (pg. 84, "Culture and customs of Taiwan" by GM Davison & BE Reed)
Included among the activities of martial arts associations was the lion dance which was performed to bring good luck during Chinese festivities and at ceremonies marking the launch of new businesses. (Pg.322, "The Chinese in Malaysia" by Kam Hing Lee)
"A dance known as the lion dance, for instance, is thought to recreate the breathing rhythm of a lion and thereby coordinate the interaction of yin and yang influences. The lion's exhalation is believed to repel yin forces, and its inhalation to draw in yang forces from the surrounding area. In this way, the lion attracts yan and repels yin, thereby insuring the harmony of the environment." (Pg.58, "The Festival of the Nine Emperor Gods in Malaysia" by Cheu Hock Tong, National University of S'pore)
Bergunakah nukilan-nukilan ini semua? Dalil hanya akan dibalas dengan dalih dan hujah akan hanya dibalas dengan helah. Berani berfatwa tetapi tidak berani berbincang secara terbuka dan secara ilmiah.
Fatwa para asatizah su' sekadar melepaskan batuk ditangga.
Sabda Rasulullah salallahu 'alayhi wa salam:
"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu (agama) dengan serta merta dari hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila tiada lagi orang yang alim, maka orang-orang pun mengangkat pemimpin-pemimpin yang jahil, lantas mereka ditanya, kemudian memberikan fatwa tanpa berdasarkan ilmu, sehingga mereka sendiri sesat menyesatkan (orang lain)". [Shahih Bukhari dan Muslim]



